Sunday, August 14, 2011

Kelantan Berpesta Gol

Juara Liga Super 2011, Kelantan berpesta gol di Stadium Selayang sebentar tadi apabila mudah membelasah pasukan dari ibu kota iaitu Kuala Lumpur.

Tewas  0-5 di tangan Kelantan sememangnya bukan suatu keputusan yang menggembirakan buat kem Kuala Lumpur namun di pihak kem Kelantan ia bagaikan satu kelegaan apabila krisis ketumpulan barisan serangan tampak berjaya diselesaikan.

Dalam aksi perlawanan persahabatan itu tadi, gandingan yang pernah dicipta suatu masa dahulu diantara Norshahrul Idlan Talaha dan pemain yang dipinjam Azamuddin Akil berjaya menghasilkan gol awal buat sang kijang apabila gerakan satu dua mereka berjaya disudahkan Nurul Azwan Roya pada minit ke-14.

Ketiadaan Khairul Fahmi jelas tidak mendatangkan masalah besar buat Kelantan apabila Halim Napi mempamerkan aksi mantap sepanjang perlawanan tersebut. Percubaan demi percubaan di tepis. 'Aksinya tak hilang dimamah usia' bak kata seorang penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Kira-kira 1500 penyokong Kelantan yang hadir tampak mula memberi kepercayaan kepada penyerang baru Azamuddin Akil apabila beliau berjaya menjaringkan gol kedua perlawanan setelah penjaga gol Kuala Lumpur gagal menangkap kemas sepakan percuma dari Daudsu.

Norshahrul Idlan Talaha juga mendapat beberapa peluang namun gagal menyempurnakannya mungkin akibat baru pulih dari kecederaan panjang yang dialaminya. Tamat separuh masa pertama Kuala Lumpur 0-2 Kelantan.

Bersambung babak kedua, giliran ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi pula menjaringkan gol. Gol tersebut hadir hasil kekalutan didepan gol. Kuala Lumpur bagai tersentap dan cuba bangkit melalui beberapa asakan namun semunya tidak berhasil apabila barisan pertahanan Kelantan berjaya menangkis segala asakan.

Pada minit ke-76, pemain yang lama tersisih, Solehin Kanasian membuktikan kemampuan beliau apabila mudah meledak kencang hasil hantaran seorang lagi pemain yang dipinjam dari Pahang iaitu R.Surendran. Kini giliran R.Surendran pula menrobek gawang Kuala Lumpur buat kali ke lima apabila berjaya menyempurnakan hantaran dari Ramzul Zahini Adenan. Tamat perlawanan, Kuala Lumpur 0-5 Kelantan


Statistik Perlawanan

Gol: 
Kuala Lumpur 0 - 5 Kelantan

Percubaan: 
Kuala Lumpur 10 - 24 Kelantan

Offside: 
Kuala Lumpur 3 - 1 Kelantan

Kad Kuning: 
Kuala Lumpur 0 - 1 Kelantan

Ball Posisi (%): 
Kuala Lumpur 45 - 55 Kelantan

(Statistik perlawanan dipetik dari laman blog RedsfcNews)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...