Wednesday, August 24, 2011

Kelantan Balas Dendam

Hasrat anak buah Dato' M.Karathu untuk membalas dendam terhadap 'rival' mereka, T-team akhirnya berjaya selepas mudah menewaskan pasukan tersebut dengan keputusan 3-1.

Walaupun perlawanan tersebut hanya sekadar perlawanan persahabatan dan aksi pemanas badan dalam persediaan untuk mengharungi saingan Piala Malaysia namun kedua-dua pasukan dilihat ingin mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan ini.

Kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan utama terbaik mereka dalam perlawanan yang boleh dikatakan sebagai antara perlawanan persahabatan terpenting demi menjaga maruah pasukan masing-masing.

Kedua-dua pasukan bermula longlai, dengan hantaran-hantaran tidak tepat sering dilakukan kedua-dua pasukan, 'fitness' para pemain juga dilihat kurang memuaskan di awal-awal permainan sekaligus menjadikan rentak perlawanan perlahanan dan membosankan.

Akhirnya, Kelantan terlebih dahulu berjaya memecah kebuntuan apabila Norshahrul Idlan Talaha dikasari pemain T-team di dalam kotak penalti sekaligus memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat sang kijang. Ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut seterusnya meletakkan tuan rumah dihadapan.

Tidak lama selepas itu, giliran pasukan pelawat pula dihadiahkan sepakan penalti apabila pengadil mendakwa penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail mengasari pemain lawan. Pemain pinjaman T-team yang juga penjaring terbanyak Liga Perdana, Fitri Omar mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk mengikat keputusan.

Penyokong tuan rumah sekali lagi bersorak gembira apabila pemain pinjaman dari Pahang, Azamuddin Akil menjaringkan gol kedua buat pasukan Kelantan. Azamuddin Akil kini dilihat telah menjadi antara pemain 'favourite'  penyokong The Red Warriors setelah berjaya menjaringkan beberapa gol dalam perlawanan persahabatan di Lembah Klang baru-baru ini.

Tamat babak pertama, tuan rumah, Kelantan mendahului dengan jaringan 2-1 walaupun perlawanan sedikit hambar akibat 'lack of fitness' pemain-pemain dan permukaan padang yang basah sedikit merencatkan pergerakan para pemain.

Bersambung babak kedua, Kelantan dilihat lebih garang apabila kerap kali datang mengasak kubu pertahanan T-team dan T-team pula jarang sekali dapat melancarkan serangan. Penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail tidak banyak diuji apabila hanya beberapa percubaan sahaja berjaya dilepaskan pemain pasukan pelawat.

Disebalik aksi lemah ketua pasukan dibabak pertama, beliau membuktikan bahawa beliau masih berbisa apabila berjaya menjaringkan gol yang menarik pada minit ke 63. Gol hasil dari gerakan solo beliau dari bahagian tengah padang menewaskan 4 pemain pertahahan T-team dan terus merembat masuk bola ke gawang pelawat untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Pasukan pelawat dilihat cuba bangkit, namun semuanya tidak berhasil apabila pertahanan The Red Warriors yang diketuai S.Subramaniam bijak menangkis segala asakan, Tamat perlawanan, Kelantan menang 3-1.

Laporan : MuhdShamil

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...