Sunday, September 25, 2011

Konflik Atau Strategi


Pertamanya, posting ini bukan untuk menunding jari, menuduh atau memburukkan sesiapa. Posting ini sekadar untuk menyuarakan kemusykilan yang bermain di minda penulis tentang apa yang berlaku diantara Danial Fadzly dengan pihak pengurusan. Konflik atau strategi ?

Danial Fadzly Abdullah, seorang pemain tengah yang cukup berpengalaman dan antara pemain yang paling banyak memberi sumbangan kepada pasukan tiap kali diberi peluang beraksi, namun apa yang menjadi kemusykilan ialah kenapa khidmat beliau jarang sekali digunakan.

Sumbangan beliau jelas dapat dilihat dalam saingan merebut Piala Sumbangsih awal musim lalu apabila Kelantan berjaya menewaskan tuan rumah, Selangor di Stadium Shah Alam dan yang terbaru apabila Kelantan menjaringkan 4 gol dalam masa 10 minit selepas beliau dimasukkan dan beliau juga menjaringkan 1 gol.

Penulis bertambah musykil selepas menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia diantara Johor FC dan Kelantan semalam yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1. Jelas jentera tengah Kelantan GAGAL berfungsi. Walaupun berada dalam senarai pemain gantian tetapi Danial sekali lagi disisihkan dan Dato' M.Karathu bertindak membawa pemain yang baru pulang dari tugasan negara, Izuan Salahuddin yang jelas masih keletihan.

Ya, tidak dinafikan, faktor usia Danial Fadzly yang sudah mencecah 32 tahun mungkin menjadi faktor utama mengapa beliau tidak diturunkan dalam kesebelasan utama namun kenapa walapun perlawanan berbaki 20 minit pun beliau tak diberi peluang sedangkan semua mengetahui beliau boleh merubah corak permainan.

Apakah benar ura-ura yang mengatakan bahawa terdapat konflik dalaman. Penulis bukan hendak menuduh, cuma bertanya. Jika benar, perkara ini perlu diselesaikan segera demi menjaga keharmonian pasukan. Penulis bukan mahu menjatuhkan sesiapa, penulis cuma berharap kita boleh sama-sama membantu pasukan dalam usaha untuk terus maju dari semasa ke semasa.

Namun, penulis selalu berfikiran positif, mungkin Dato' M.Karathu mempunyai perancangan tersendiri mengapa beliau jarang menggunakan khidmat Danial Fadzly. Dato' M.Karathu boleh diklasifikasikan sebagai antara jurulatih yang sukar diramal apa yang bermain di mindanya. 

Penulis yakin, Dato' M.Karathu seorang jurulatih yang berwibawa. lihat lah apa yang telah beliau lakukan kepada pasukan Kelantan setelah beliau mengambil alih tugas selaku jurulatih. Juara Piala Sumbangsih 2011, Naib Juara Piala FA 2011, Juara Liga Super 2011 dan sekarang sedang bertarung untuk mengekalkan Piala Malaysia pula.



1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...