Sunday, September 11, 2011

Ramzul Jadi Hero

#MuhdShamil

Penyandang juara, Kelantan meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya menumpaskan pasukan kelab, Johor FC di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.

Tuan rumah tampak seperti bakal diaibkan dilaman sendiri apabila sejak dari wisel permulaan, pasukan pelawat dilihat lebih menguasai perlawanan. Semuanya bagai tidak menjadi di barisan tengah mahupun serangan pasukan Kelantan apabila kesilapan demi kesilapan dilakukan.

Stadium diam seketika apabila pasukan pelawat yang membuka tirai jaringan terlebih dahulu. Gol pertama Johor FC hadir seawal minit ke 12 apabila Eddy Helmi Abdul Manan bijak menyempurnakan peluang hasil kelam kabut di depan pintu gol Kelantan.

Tersentak dengan gol tersebut, para pemain Kelantan bangkit memperkemaskan rentak perlawanan dan melancarkan asakan demi asakan ke kubu pertahanan Johor FC. Hasilnya, Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 16 apabila pemain tengah, Shakir Shaari merembat deras dan bola terbias di kaki pemain pertahanan Johor FC dan terus menerjah gawang.

Pada babak kedua, Dato' M.Karathu mengeluarkan Shakir Shaari dan memasukkan Khairan Ezuan walaupun corak permainan Badhri Radzi dilihat kurang menyakinkan jika dibandingkan dengan Shakir. Selain itu, penyerang pinjaman dari Pahang, Azamuddin Akil turut dibawa keluar apabila dilihat kurang berkesan, beliau digantikan oleh penyerang muda Ramzul Zahini Adenan.

'fresh leg' nyata sesuatu yang penting dalam perlawanan seperti ini apabila Ramzul Zahini berjaya menceriakan para penyokong Wira Merah dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke 88 seterusnya memastikan 3 mata penting buat The Red Warriors.

Selepas ini, Kelantan dijadualkan akan bertemu FELDA United FC di Stadium Selayang pada Rabu ini.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...