Perjalanan yang ditempuhi oleh para penyokong sang kijang nyata berbaloi apabila pasukan kesayangan mereka, Kelantan tampak mudah menjinakkan pencabar terdekat iaitu Terengganu di Stadium Tuanku Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa jentera serangan sang penyu adalah antara yang paling berbahaya di negara, namun barisan pertahanan Kelantan tampak tenang menyekat asakan demi asakan yang dilancarkan oleh pasukan Terengganu.
Shahrizan Ismail |
Penulis kagum dengan aksi yang ditunjukkan oleh penjaga gol berpengalaman Kelantan, Shahrizan Ismail yang tidak menunjukkan aksi 'berkarat' akibat selalu berada di bangku simpanan sebaliknya aksi mantap yang ditunjukkan oleh penjaga gol ini. Jelas Kelantan kini tidak berdepan sebarang masalah di posisi penjaga gol jika Khairul Fahmi Che Mat tidak dapat beraksi.
Penyerang utama Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha juga telah kembali berada di atas dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super setelah berjaya menjaringkan 2 gol dalam perlawanan ini sekaligus memaksa penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya turun ke tangga kedua dengan perbezaan 1 gol.
Izuan Salahuddin |
Dalam perlawanan sebentar tadi, Kelantan berjaya memecah kebuntuan melalui gol daripada pemain muda, Mohd Izuan Salahuddin yang mudah menolak bola ke gawang lawan hasil hantaran cantik dari pemain pertahanan Kelantan, Mohd Duadsu Jamaluddin.
Abdul Hadi Yahya |
Tersentap dengan gol pertama pasukan pelawat, Terengganu menggandakan asakan ke arah kubu pertahanan Kelantan. Keserasian diantara 2 pemain lincah Terengganu, Joseph Kalang Tie dan Abdul Hadi Yahya terserlah apabila hantaran-hantaran pendek tepat kekaki rakan.Namun, kekebalan benteng pertahanan Kelantan disamping kehebatan penjaga gol Kelantan kubu sang kijang tidak berjaya dibolosi para pemain Terengganu.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah nampak lebih berkeyakinan beraksi didepan ribuan penyokong sendiri dengan melancarkan serangan demi serangan ke arah kubu Kelantan namun tatkala ketua jurulatih Kelantan gelisah, Norshahrul Idlan Talaha berjaya merobek gawang Terengganu buat kali kedua.
Dengan gol itu, pasukan Terengganu dilihat seperti sudah hilang semangat dan peluang itu digunakan sebaik mungkin oleh para pemain Kelantan apabila beberapa serangan dilakukan oleh Nurul Azwan Roya, S.Chanturu, Norshahrul dan Izuan.
Norshahrul Idlan Talaha menambah duka sang penyu dengan menjaringkan gol ketiga pasukan Kelantan. Di saat itu, para penyokong Terengganu dilihat sudah bergerak meninggalkan Stadium manakala penyokong Kelantan terus berpesta.
Tamat perlawanan, Terengganu 0, Kelantan 3. Kelantan terus berada di puncak Liga dan diikuti oleh Selangor yang kenduri gol di Stadium Shah Alam dengan menewaskan Perlis 7-1 manakala Terengganu jatuh ke tangga ketiga.
No comments:
Post a Comment