Thursday, June 23, 2011

Lebanon Bukan Tandingan Malaysia


Skuad Olimpik Malaysia akhirnya mengesahkan tempat ke peringkat kumpulan Kelayakan Olimpik 2012 selepas berjaya menewaskan pasukan yang dilabel antara pasukan pilihan, Lebanon dengan jaringan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada babak-babak awal permainan, kubu pertahanan Malaysia kerap kali diasak melalui rangkaian pemain di barisan serangan Lebanon namun barisan pertahanan negara yang diketuai Muslim Ahmad tampak tenang mengagalkan setiap asakan pemain Lebanon.

Selepas beberapa ketika, para pemain negara nampak lebih bersemangat dan melancarkan beberapa asakan. akhirnya usaha keras mereka membuahkan hasil apabila sepakan half volley dari Irfan Fazail berjaya menewaskan penjaga gol Lebanon.

Tersentap dengan gol tersebut, para pemain Lebanon terus melancarkan asakan, pemain lincah mereka Mohammad Haidar berjaya melepaskan satu sepakan kencang dari odd angle ke arah penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat tetapi Lebanon sekali lagi kecewa apabila bola sekadar terkena palang gol.

Anak buah Ong Kim Swee sedar bahawa keputusan 1-0 ialah bukan keputusan yang selesa dan mereka terus melancarkan serangan. Pada minit ke 41, Wan Zack Haikal mudah menyempurnakan lorongan cantik dari Gary Steven Robbat untuk gol kedua pasukan Malaysia.

Bersambung babak kedua, Malaysia memulakan babak kedua dengan langkah kiri apabila pemain tengah, Gary Steven Robbat menerima kad kuning kedua dan terus diarah keluar padang pada minit ke 52 perlawanan. Lebanon yang kini berkelebihan seorang pemain menggunakan sepenuhnya kelebihan tersebut untuk mengatur serangan ke arah gawang Malaysia.

Hasilnya, pasukan pelawat berjaya menjaringkan gol pertama apabila Chandi Atie mudah menanduk masuk bola hasil lantunan percubaan awal seorang lagi pemain Lebanon yang berjaya diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat menjadikan keputusan 2-1.

Disaat perlawanan menuju ke masa tambahan ketahanan mental dan fizikal para pemain negara terus diuji apabila Lebanon mengawal hampir keseluruhan perlawanan dengan asakan-asakan bahaya yang dilancarkan tapi terbukti bahawa para pemain muda negara bukan 'budak mentah' apabila tabah dan terus bekerjasama untuk memastikan gawang negara tidak dibolosi untuk kali kedua.

Tamat perlawanan, Malaysia berjaya menumpaskan Lebanon dengan jaringan 2-1, satu lagi sejarah telah tertulis dan Malaysia telah kembali ke peta bola sepak Asia apabila menjadi antara 12 pasukan terbaik di Asia dan yang lebih membanggakan Malaysia merupakan satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang layak ke Pusingan Akhir Kelayakan Olimpik 2012.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...