Friday, December 2, 2011

Kisah Si Penjaga Gawang : Nak Bersara Awal ?


Permata bolasepak negara, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih mesra dengan panggilan Apek semalam dikaitkan dengan kenyataan bahawa beliau akan bersara dari beraksi bersama pasukan negara dan semua perlawanan antarabangsa apabila sudah tidak tahan dengan 'coverage' melampau pihak media terhadapnya sehingga mencabuli hak peribadi beliau.

Beliau mula diberi perhatian meluas selepas menjadi wira ketika pasukan Malaysia menjadi juara Piala AFF Suzuki 2010. Walaupun pada mulanya hadir selaku penjaga gawang nombor dua di belakang Sharbinee Alawee Ramli namun selepas Sharbinee beraksi kurang mantap di perlawanan pertama dimana Malaysia diaibkan Indonesia 5-1, Khairul Fahmi terus diberi tanggungjawab mengisi posisi nombor satu.

Selepas tamatnya kejohanan AFF Suzuki tersebut, nama Apek terus meletup sehinggakan nama beliau pernah menjadi carian terbanyak (Dunia) di Google pada suatu ketika. Kehidupan beliau (Coverage Media) mula berubah dari seorang panjaga gawang tidak dikenali hingga menjadi seorang superstar. Beliau mula digilai gadis-gadis seantero Malaysia malah mungkin Asia tenggara.

Beliau yang ketika itu sudah mempunyai buah hati tidak mempunyai sebarang kontroversi, malah beliau sempat bertunang dengan pilihan hatinya itu. Majlis pertunangan mereka dilansungkan dengan penuh glamour, majlis bertemakan Arabian. Namun semuanya berubah apabila gambar Apek berpegangan tangan seorang gadis muda mula tersebar yang pada mulanya Apek mendakwa bahawa gadis itu sekadar teman rapat namun akhirnya beliau mengaku bahawa itu buah hati barunya dan beliau memutuskan pertunangannya.

Tidak lama berselang, tersebar pula gambar-gambar beliau di satu parti bersama gadis itu ditemani teman-teman seksi dan juga beberapa gelas berisi minuman keras. Beliau yang ketika itu dalam rangka persiapan untuk ke Sukan SEA, Indonesia mungkin mula tertekan namun beliau sebagai seorang yang profesional tampak tenang dan berjaya menampilkan aksi cemerlang ketika di Indonesia.



Akhirnya, Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas bolasepak yang disifatkan sebagai ibu segala pingat dan Apek menjadi antara tulang belakang pasukan negara sepanjang kejohanan itu berlansung dengan aksi menyelamatnya yang cukup cemerlang. Namun, Apek hanya sempat berpesta sekejap sahaja, dalam keletihan, beliau terpaksa menggalas cabaran selaku kapten skuad Olimpik Malaysia yang turun menentang Syria tidak sampat seminggu selepas itu.

Namun, Apek tidak menjadikan letih sebagai alasan apabila terus menampilkan aksi cemerlang disebalik kekalahan 0-2 kepada Syria. Namun, Apek terus dilanda kontroversi. Kali ini. gambar-gambar mesra bersama seorang perempuan baru pula tersebar dan konsentrasi Apek dilihat agak terganggu dalam perlawanan menentang Bahrain.

Kini, Apek dikatakan sudah membuat pemohonan tidak rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya dilepaskan daripada semua aksi bersama pasukan antarabangsa. Beliau hanya ingin menumpukan perhatian kepada pasukan negeri yang diwakilinya sahaja iaitu Kelantan. 

Apa yang saya harapkan, Apek terus menabur bakti bersama skuad Malaysia dan kepada penyokong, teruslah menyokong karier Apek dan kepada pihak media, tak usahlah terlalu obses dengan isu kehidupan Apek kerana banyak lagi isu yang boleh melariskan pemasaran produk anda selain isu negatif tentang Khairul Fahmi Che Mat. Menulis juga berharap agar Apek sendiri dapat berubah, cukup-cukuplah. Anda merupakan role model dan yang paling penting anda beragama Islam.


Apek, Lagenda dalam pembikinan!




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...