Monday, December 12, 2011

Izuan Dipinjamkan Ke Harimau Muda A


Pemain sayap muda Kelantan, Mohd Izuan Salahuddin dijangka bakal beraksi di Liga Singapura untuk musim 2012 bersama skuad muda negara, Harimau Muda A. Beliau sendiri telah mengesahkan perkara ini walaupun pada mulanya berhasrat untuk tidak membuat kenyataan rasmi tentang perkara ini.

Izuan yang mula mencipta nama bersama pasukan Piala Presiden Kelantan kemudianya diserapkan ke skuad utama pada musim 2011 dek kerana kekurangan pemain berkaliber akibat penghijrahan beramai-ramai pemain utama. Kebolehan beliau untuk beraksi di pelbagai posisi juga menjadi faktor utama bekas jurulatih Kelantan, Dato' M.Karathu memanggil beliau ke skuad utama.

Untuk musim 2012, beliau mengambil keputusan untuk keluar secara pinjaman ke pasukan bimbingan Ong Kim Swee, Harimau Muda A kerana beliau sedar yang untuk merebut tempat dalam skuad utama Kelantan kini sukar untuknya dengan kembalinya beberapa nama senior ke pasukan Kelantan. Beliau yakin, dengan cara ini, beliau akan terus diberi peluang untuk beraksi dengan lebih kerap dan mendapat pendedahan di peringkat antara bangsa.

Apabila diajukan soalan sama ada beliau akan pulang berbakti untuk negeri asalnya, beliau menjawab "itu sudah semestinya, Kelantan tanah tumpahnya darahku" - apa yang pasti, jika Izuan terus berdisplin dan berusaha untuk konsisten ditambah pula dengan pendedahan yang diterima, tak mustahil, Izuan akan pulang ke pasukan Kelantan sebagai seorang superstar yang berdiri sebaris dengan Indraputra, Azwan Roya, S.Chanturu dan Norfarhan pada ketika ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...