Monday, October 3, 2011

Menjelang Aksi Suku Akhir

#MuhdShamil


7 hari menjelang saingan suku akhir Piala Malaysia yang akan menemukan Kelantan dan Terengganu, debarannya kian terasa. Walaupun dianggap sebagai 'adik beradik' namun di atas padang, permusuhan mereka bukan biasa-biasa. Para penyokong kedua-dua pasukan makin 'panas'. Laman-laman sosial pula mula dipenuhi provokasi.

Banyak yang menarik disebalik pertembungan diantara kedua gergasi pantai timur yang sekarang dah menjadi gergasi bolasepak Malaysia ini. Yang paling menarik, pertembungan ini bakal menemukan PENYANDANG JUARA PIALA MALAYSIA, Kelantan dan juga JUARA PIALA FA, Terengganu. Satu perlawanan yang pasti menjanjikan aksi sengit.

Selain itu, game ini juga bakal menemukan NAIB JUARA LIGA SUPER, Terengganu dan juga NAIB JUARA PIALA FA, Kelantan. Apa yang menarik, Terengganu menjadi juara Piala FA selepas menewaskan Kelantan di perlawanan akhir manakala kemenangan 3-0 Kelantan keatas Terengganu di Kuala Terengganu menjadi titik tolak dalam usaha Terengganu mengejar kejuaraan Liga Super.

PENJARING TERBANYAK Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahya bakal sekali lagi bersaing dengan PENJARING KEDUA TERBANYAK, Norshahrul Idlan Talaha dalam usaha untuk menentukan siapa yang terbaik. Tidak lupa juga bertujuan untuk membuka mata ketua jurulatih kebangsaan, Dato' K.Rajagobal siapa yang wajar berada di dalam skuad beliau.

Selesai membicarakan tentang pemain di posisi paling atas kini kita ke posisi terakhir pula, penjaga gol. 2 penjaga gol kebangsaan, 2 orang wira bakal diketemukan lagi. Sharbinee Allawee Ramli (Terengganu) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan). 2 penjaga gol yang telah menjadi wira negara. Sharbinee (Sukan Sea 2009) manakala Khairul Fahmi (Piala Suzuki AFF 2010) Siapa paling hebat ?

Selain itu, penulis ingin menokok tambah beberapa lagi info menarik. Game ini juga bakal menyaksikan pertarungan 2 pemain di sayap kanan yang lincah dan pantas. Joseph Kalang Tie (Terengganu) digelar 'Messi Ganu' dek kerana kelincahannya manakala S.Chanturu (Kelantan) digelar 'Kelantan Express' dek kerana larian-larianya yang pantas.

Akhir sekali, 2 pemain akan berentap dengan pasukan kelahiran mereka sendiri. Di pasukan Terengganu, Mohd Ailim Fahmi merupakan pemain yang dilahirkan di negeri Kelantan manakala di Kelantan, penyerang utama mereka, Norshahrul Idlan Talaha dilahirkan di Besut, Terengganu.

Kesimpulanya, pihak SHAMIL10 menjangkakan satu perlawanan menarik bakal dapat anda semua saksikan, kedua-dua pasukan mempunyai barisan yang kukuh dan juga barisan serangan yang tajam, agak sukar untuk meramal siapa yang bakal berjaya melangkah ke saingan separuh akhir. Sama-sama kita nantikan! 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...