Thursday, October 6, 2011

Australia Vs Malaysia

Suatu ketika dahulu, P.Ravindran, 'lipas kudung' pasukan Perak pernah menjadi wira Malaysia selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan Malaysia lawan Australia pada tahun 1992. Gol hasil hantaran cantik, legenda negara, Zainal Abidin Hassan

Namun, selepas 19 tahun berlalu, selepas 5 perlawanan, hanya itu lah kali pertama Malaysia berjaya menewaskan pasukan Australia. Percaya atau tidak, esok, pasukan negara sekali lagi akan turun berjuang menentang Australia dalam perlawanan persahabatan antarabanga di Canberra.

Dalam jangka masa 19 tahun itu, jurang mutu bolasepak diantara Malaysia dan Australia sudah jauh berbeza. Australia telah 2 kali berjaya menyertai kejohanan Piala Dunia manakala Malaysia pula baru mula mengorak langkah untuk mengembalikan nama ke peta bolasepak dunia atau lebih tepatnya peta bolasepak ASEAN terlebih dahulu.

Datuk K.Rajagobal, nama disebalik kebangkitan Harimau Malaya perlu mencongak strategi terbaik dalam usaha untuk berdepan lawan yang bukan calang-calang. Menyekat kemaraan lawan yang diangkat sebagai antara pasukan terbaik di rantau Asia bukannya satu kerja mudah.


Tanpa beberapa 'regular faces' seperti Safiq Rahim, Shakir Shaari, Amirul Hadi Zainal dan Ashaari Samsuddin, skuad Malaysia kini diwakili oleh beberapa muka baru termasuk penyerang Universiti Kebangsaan Malaysia, K.Reuben, pemain tengah Terengganu, Joseph Kalang Tie, pemain sayap, Wan Zaharul Nizam dan bek kiri, Zubir Azmi merupakan antara muka baru yang diharap mampu mengejutkan lawan.

Tumpuan pastinya terarah kepada Joseph Kalang Tie yang diberi kepercayaan untuk mengambil alih tugas dari Safiq Rahim selaku perancang utama pasukan. Pemain tengah berusia 24 tahun dari Sarawak ini telah mempamer aksi mantap dalam kempen Piala Malaysia kali ini yang membuatkan Datuk K.Rajagobal terpikat. Larian-lariannya, gelecekan mengelirukannya dan juga hantaran-hantarannya merupakan kunci utama beliau dipanggil menyertai skuad negara.

Sebilangan besar pemain-pemain dari pasukan Harimau Muda A juga telah terpilih untuk diserap kedalam pasukan. Datuk K.Rajagobal dilihat gemar bergantung kepada pemain-pemain muda, hanya Norhafiz Zamani Misbah dan Safee Sali sahaja merupakan pemain veteran.

Safee yang baru pulang dari sesi pemilihan bersama kelab England, Cardiff City diberi tanggungjawab besar untuk merobek gawang Australia bersama gandingannya Norshahrul Idlan Talaha. Sementara Norhafiz bakal menjadi 'dinding' negara. Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu masih kental dan telah dibuktikan ketika beraksi menentang Chelsea di Bukit Jalil tempoh hari.

Namun, nama Khairul Fahmi Che Mat tidak ketinggalan dari menjadi perhatian dan tumpuan. Pemain yang mempamer aksi konsisten dan mantap ketika perlawanan kelayakan Olimpik menentang Jepun baru-baru ini. Apek sudah pasti menjadi pilihan utama Rajagobal untuk perlawanan ini.

Australia pula dijangka bakal menurunkan pemain-pemain terbaiknya walaupun tanpa kelibat pemain tengah, Tim Cahill dan penjaga gol Mark Schwarzer yang tersisih akibat masalah kecederaan. Mereka pasti mahu satu kemenangan besar, kemenangan bergaya bagi memuaskan hati para penyokong mereka namun Malaysia dilihat bukan lah lawan mudah. Tidak dinafikan peluang untuk Australia mencapai kemenangan sememangnya tinggi tetapi bukan menang dengan jaringan besar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...