Sunday, October 23, 2011

Irfan Nak Buat Double, Azrai Nak Ulang Magik

" Saya nak buat double " - Mungkin itu lah yang bermain di minda jurulatih berpengalaman pasukan Terengganu bernama Irfan Bakti.

Sasaran untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia akhirnya tercapai apabila perjalanan penuh liku telah diredah Irfan dan anak buahnya. Bermula di saingan suku akhir, Terengganu mengetepikan juara bertahan, Kelantan manakala di saingan separuh akhir, giliran juara 32 kali, Selangor pula menjadi mangsa Terengganu.

Walaupun terlepas Piala Liga Super, Irfan Bakti sudah berjaya membawa Piala FA ke bumi Terengganu selepas menewaskan rivalnya, Kelantan. Kini misi double diteruskan dengan misi untuk menggengam Piala Malaysia pula.

Tidak dinafikan, dengan kualiti yang ada pada setiap pemain Terengganu, Irfan Bakti dilihat tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kebangkitan skuad bolasepak dari pantai timur tanah air itu. Para pemainnya juga bebas dari sebarang penggantungan perlawanan. Maka, kesebelasan terbaik mampu diturunkan Irfan.


Disebalik perwatakannya yang selalu merendah diri, namun, nama Azrai Khor Abdullah sudah menjadi sinonim dengan perang-perang psikologi yang sering beliau lakukan sebelum perlawanan-perlawanan besar berlansung.

Dahulu, nama beliau pernah menjadi sanjungan para penyokong Hijau Kuning apabila berjaya membawa pasukan Kedah menjadi antara pasukan terhebat di negara. Mana tidaknya, beliau pernah menjuarai semua piala dan kejohanan domestik selama 2 musim berturut-turut sehingga digelar Azrai "Double Treble" Khor.

Kini, beliau membimbing pasukan Negeri Sembilan pula, walaupun baru 6 bulan mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih daripada Wan Jamak Wan Hassan, skuad Hoben dilihat sudah kembali di tahap yang sepatutnya, sebagai antara kuasa besar bolasepak tanah air.

Kali ini, para penyokong Negeri Sembilan pasti menagih 'magis' yang pernah beliau lakukan ketika bersama pasukan Kedah dahulu, sasaran pertama, Juara Piala Malaysia. Anak buah Irfan Bakti seharusnya bekerja keras jika ingin menggengam Piala Malaysia kali ini kerana dengan adanya skuad yang seimbang, 'magis' Azrai Khor pasti dapat diulangi.

Apa yang penting, para penyokong/penonton berkecuali mahu menonton satu perlawanan akhir yang sengit dan menarik. Sama-sama kita nantikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 diantara Terengganu dan Negeri Sembilan pada 29/10/2011 di Stadium Shah Alam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...