Monday, October 3, 2011

Menjelang Aksi Suku Akhir

#MuhdShamil


7 hari menjelang saingan suku akhir Piala Malaysia yang akan menemukan Kelantan dan Terengganu, debarannya kian terasa. Walaupun dianggap sebagai 'adik beradik' namun di atas padang, permusuhan mereka bukan biasa-biasa. Para penyokong kedua-dua pasukan makin 'panas'. Laman-laman sosial pula mula dipenuhi provokasi.

Banyak yang menarik disebalik pertembungan diantara kedua gergasi pantai timur yang sekarang dah menjadi gergasi bolasepak Malaysia ini. Yang paling menarik, pertembungan ini bakal menemukan PENYANDANG JUARA PIALA MALAYSIA, Kelantan dan juga JUARA PIALA FA, Terengganu. Satu perlawanan yang pasti menjanjikan aksi sengit.

Selain itu, game ini juga bakal menemukan NAIB JUARA LIGA SUPER, Terengganu dan juga NAIB JUARA PIALA FA, Kelantan. Apa yang menarik, Terengganu menjadi juara Piala FA selepas menewaskan Kelantan di perlawanan akhir manakala kemenangan 3-0 Kelantan keatas Terengganu di Kuala Terengganu menjadi titik tolak dalam usaha Terengganu mengejar kejuaraan Liga Super.

PENJARING TERBANYAK Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahya bakal sekali lagi bersaing dengan PENJARING KEDUA TERBANYAK, Norshahrul Idlan Talaha dalam usaha untuk menentukan siapa yang terbaik. Tidak lupa juga bertujuan untuk membuka mata ketua jurulatih kebangsaan, Dato' K.Rajagobal siapa yang wajar berada di dalam skuad beliau.

Selesai membicarakan tentang pemain di posisi paling atas kini kita ke posisi terakhir pula, penjaga gol. 2 penjaga gol kebangsaan, 2 orang wira bakal diketemukan lagi. Sharbinee Allawee Ramli (Terengganu) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan). 2 penjaga gol yang telah menjadi wira negara. Sharbinee (Sukan Sea 2009) manakala Khairul Fahmi (Piala Suzuki AFF 2010) Siapa paling hebat ?

Selain itu, penulis ingin menokok tambah beberapa lagi info menarik. Game ini juga bakal menyaksikan pertarungan 2 pemain di sayap kanan yang lincah dan pantas. Joseph Kalang Tie (Terengganu) digelar 'Messi Ganu' dek kerana kelincahannya manakala S.Chanturu (Kelantan) digelar 'Kelantan Express' dek kerana larian-larianya yang pantas.

Akhir sekali, 2 pemain akan berentap dengan pasukan kelahiran mereka sendiri. Di pasukan Terengganu, Mohd Ailim Fahmi merupakan pemain yang dilahirkan di negeri Kelantan manakala di Kelantan, penyerang utama mereka, Norshahrul Idlan Talaha dilahirkan di Besut, Terengganu.

Kesimpulanya, pihak SHAMIL10 menjangkakan satu perlawanan menarik bakal dapat anda semua saksikan, kedua-dua pasukan mempunyai barisan yang kukuh dan juga barisan serangan yang tajam, agak sukar untuk meramal siapa yang bakal berjaya melangkah ke saingan separuh akhir. Sama-sama kita nantikan! 



Thursday, September 29, 2011

Tiada Sebab Untuk Apek Berhijrah

Credit : Userun Photography
Seperti pemain-pemain lain, nama penjaga gol paling sensasi di negara, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek juga tidak terlepas daripada gosip-gosip perpindahan untuk musim baru yang akan menjelang nanti.

Terbaru, terhangat dan paling hangat, pasukan Selangor dikhabarkan giat berusaha untuk membawa Apek ke pasukan mereka untuk musim hadapan untuk menyelesaikan masalah ketandusan penjaga gol berkaliber yang mereka hadapi sejak penghijrahan Hamsani Ahmad ke FELDA United awal musim lalu.

Walaupun khabar angin tersebut dinafikan serta-merta oleh pengurus pasukan Merah Kuning, Dato' Hamidin namun peribahasa jika tiada angin masakan pokok bergoyang tampak sesuai digunapakai untuk perkara ini. Selangor mampu untuk mendapatkan khidmat Apek dengan cara penebusan kontrak walaupun kontraknya bersama Kelantan masih panjang.

Namun, bagi penulis, penyokong-penyokong Kelantan tidak perlu gusar atau bimbang dengan perkara ini kerana pada pendapat penulis TIADA SEBAB UNTUK APEK BERHIJRAH. Beliau kini berada dalam terbaik bersama Kelantan, tiada sebab untuk beliau ke pasukan lain.

Kelantan adalah pasukan terbaik untuk Apek beraksi. Selain selalu menjadi pilihan utama jurulatih, Khairul Fahmi juga boleh mengutip seberapa banyak pengalaman beraksi di saingan peringkat antarabangsa di kejohanan AFC bersama Kelantan musim hadapan. Satu pengalaman yang pastinya sangat berguna dalam membantu pasukan Kelantan sendiri dan juga yang lebih penting, pasukan negara kita. Malaysia.

Kesimpulanya, penyokong-penyokong Kelantan tidak perlu bimbang akan kehilangan Apek kerana penulis yakin Apek tidak akan kemana-mana dalam waktu terdekat ini. Posisi utama Apek dah isi, sebagai back-up, Kelantan sudah ada Shahrizan Ismail. Namun, andaikata kedua-dua mereka tidak dapat beraksi, siapa yang bakal mengisi kekosongan tersebut ?

Penjaga-penjaga gol muda Kelantan seperti Norhadi, Jud Tanna dan juga Syazwan dilihat masih belum mampu menggalas tugas selaku penjaga gol utama. Mereka kurang pengalaman. Nak tahu siapa penjaga gol yang bakal dibawa masuk ? nantikan pendedahan eksklusif dari kami !




Wednesday, September 28, 2011

Harapan Tinggi Kepada Wan Kuzain

#MuhdShamil
Siapa dia ?
Tidak dapat dinafikan penulis sendiri turut menaruh harapan tinggi kepada apa yang penulis akan ceritakan ini. Ia mengenai pemain cilik, Wan Kuzain Wan Kamal yang jelas menampakkan bakat besar dalam sukan bolasepak.

Baru berusia 12 tahun, Wan Kuzain kini berada di Amerika Syarikat tetapi dengan aksi menarik yang dimilikinya tidak mustahil dia pulang ke tanah air untuk membantu pasukan bolasepak negara satu hari nanti.


Itu lah kelibat Wan Kuzain Wan Kamal, skill yang nyata menarik. Baru menjangkau usia 12 tahun bergitu licik dengan kawalan kemas kaki kiri, sekali imbas aksi kidalnya mirip bintang Argentina, Lionnel Messi.

Rakaman yang diambil dari youtube ini jelas menunjukkan kelebihan Wan Kuzain berbanding rakan sebayanya. Masih terlalu awal untuk memuji, walaupun rata-rata komen yang diperoleh dari laman-laman web meletakkan Wan Kuzain sebagai wonderkid Malaysia.

Apa sekali pun diharap Wan Kuzain terus gigih menggilap bakat dan seterusnya memenuhi potensi untuk menjadi pemain kebangsaan suatu hari nanti.

Wordless Wednesday

Revenge Of Daudsu
" Sharbinee, lu tunggu, kali ni gua janji gua tanduk masuk gol lu, baru lu tau siapa Daudsu"

Kijang 'Langsai Hutang'

#MuhdShamil
Credit : Userun Photography
Bermula garang, jentera serangan The Red Warriors buntu mencipta jaringan. Beberapa peluang terbaik dimiliki di awal permainan jelas gagal dimanfaatkan tuan rumah untuk keputusan terikat tanpa jaringan di babak pertama perlawanan yang dilansungkan di Kota Bharu, semalam.

Segalanya mula berubah sebaik 18 minit babak kedua bersambung . Bermula gerakan menarik pemain tengah tuan rumah, Shakir Shaari, bijak disempurnakan oleh penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha untuk meletakkan skuad Kijang dihadapan.

Sembilan mini berselang, penjaga gol pelawat, Zainal Rabin tewas sekali lagi. Norshahrul sekali lagi menggandakan jaringan untuk keputusan muthlak memihak kepada skuad bimbingan Dato' M.Karathu 2-0 mengatasi FELDA United FC.

Kemenangan 3 mata bermakna, Kelantan menepati ramalan muncul juara kumpulan C, mara ke saingan suku akhir 10 dan 14 Oktober depan menentang musuh ketat, Terengganu. Manakal laluan sukar menanti naib juara kumpulan C. FELDA United FC yang dijadualkan akan bertemu Negeri Sembilan.

Sunday, September 25, 2011

Konflik Atau Strategi


Pertamanya, posting ini bukan untuk menunding jari, menuduh atau memburukkan sesiapa. Posting ini sekadar untuk menyuarakan kemusykilan yang bermain di minda penulis tentang apa yang berlaku diantara Danial Fadzly dengan pihak pengurusan. Konflik atau strategi ?

Danial Fadzly Abdullah, seorang pemain tengah yang cukup berpengalaman dan antara pemain yang paling banyak memberi sumbangan kepada pasukan tiap kali diberi peluang beraksi, namun apa yang menjadi kemusykilan ialah kenapa khidmat beliau jarang sekali digunakan.

Sumbangan beliau jelas dapat dilihat dalam saingan merebut Piala Sumbangsih awal musim lalu apabila Kelantan berjaya menewaskan tuan rumah, Selangor di Stadium Shah Alam dan yang terbaru apabila Kelantan menjaringkan 4 gol dalam masa 10 minit selepas beliau dimasukkan dan beliau juga menjaringkan 1 gol.

Penulis bertambah musykil selepas menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia diantara Johor FC dan Kelantan semalam yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1. Jelas jentera tengah Kelantan GAGAL berfungsi. Walaupun berada dalam senarai pemain gantian tetapi Danial sekali lagi disisihkan dan Dato' M.Karathu bertindak membawa pemain yang baru pulang dari tugasan negara, Izuan Salahuddin yang jelas masih keletihan.

Ya, tidak dinafikan, faktor usia Danial Fadzly yang sudah mencecah 32 tahun mungkin menjadi faktor utama mengapa beliau tidak diturunkan dalam kesebelasan utama namun kenapa walapun perlawanan berbaki 20 minit pun beliau tak diberi peluang sedangkan semua mengetahui beliau boleh merubah corak permainan.

Apakah benar ura-ura yang mengatakan bahawa terdapat konflik dalaman. Penulis bukan hendak menuduh, cuma bertanya. Jika benar, perkara ini perlu diselesaikan segera demi menjaga keharmonian pasukan. Penulis bukan mahu menjatuhkan sesiapa, penulis cuma berharap kita boleh sama-sama membantu pasukan dalam usaha untuk terus maju dari semasa ke semasa.

Namun, penulis selalu berfikiran positif, mungkin Dato' M.Karathu mempunyai perancangan tersendiri mengapa beliau jarang menggunakan khidmat Danial Fadzly. Dato' M.Karathu boleh diklasifikasikan sebagai antara jurulatih yang sukar diramal apa yang bermain di mindanya. 

Penulis yakin, Dato' M.Karathu seorang jurulatih yang berwibawa. lihat lah apa yang telah beliau lakukan kepada pasukan Kelantan setelah beliau mengambil alih tugas selaku jurulatih. Juara Piala Sumbangsih 2011, Naib Juara Piala FA 2011, Juara Liga Super 2011 dan sekarang sedang bertarung untuk mengekalkan Piala Malaysia pula.



Saturday, September 24, 2011

Kelantan Kempunan

#MuhdShamil

Penyandang juara Piala Malaysia, Kelantan sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Johor FC di Stadium J-Corp Pasir Gudang.

Hasrat anak didik Dato' M.Karathu untuk mengutip 3 mata penuh tidak kesampaian apabila corak permainan tidak kemas yang dipamerkan skuad Kjiang sejak kebelakangan ini dilihat masih belum dapat diselesaikan. Permainan yang kucar kacir membuatkan para pemain kerap melakukan kekasaran.

Tuan rumah bermula garang dan berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke 2 perlawanan apabila pemain nombor 33, Akmal melakukan satu rembatan padu kearah pintu gol Kelantan lalu tertampan di kaki Farisham Ismail sekaligus menerjah jaring untuk Johor FC berada di depan.

Terkejut dengan jaringan tersebut, Kelantan terus melancarkan serangan, hasilnya, Kelantan berjaya menyamakan kedudukan apabila Azzamuddin Akil menguis masuk bola dari sudut yang agak sukar sekaligus mengakhiri kemarau gol beliau.

Selepas itu, perlawanan bertukar hambar, walaupun banyak percubaan-percubaan dan asakan-asakan dari kedua-dua pasukan namun perlawanan terencat dengan terlalu banyak kekasaran yang berlaku dan pengadil perlawanan dilihat tidak berjaya mengawal perlawanan dengan baik.

Tamat perlawanan, Johor FC 1, Kelantan 1, jika permainan seperti ini diteruskan oleh Kelantan, harapan untuk mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia untuk 2 musim berturut-turut dilihat agak samar-samar. Kelantan kini memimpin saingan di kumpulan C dengan perbezaan jaringan gol dengan FELDA United. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...